Nov 24, 2013

Part 9 : Madrasah Cinta

Ngam sebulan di madrasah cinta! Aku belajar satu lagi perkara di sini. Mahu tahu apa??



Jihad boikot !



Di rumah ummi, satu barang boikot pun tak kelihatan. Semuanya brand yang tidak aku kenali. Barangan Islam, barangan Malaysia. Selama aku di sini, ummi dan ayah tak pernah bawa adik-adik makan KFC atau McD.



Kalau di Kuantan, itulah tempat yang akan dituju. Dari kecil hinggalah dewasa, aku hidup dengan barangan-barangan ini. KFC, McD, Nestle, Coca cola, Snikers dan banyak lagi. Sudah sebati.



Malaysia dihantui dengan barangan Barat. Kiri, kanan, atas, bawah, semua barangan mereka. Pernah suatu ketika aku bertanya kepada ummi,



“Kenapa ummi boikot barang-barang ni?” Dahi ku berkerut.



“Barat dan Yahudi kaya raya sebab tu Islam mudah di tindas. Tengok apa dorang buat dengan Palestine, Syria.” Aku masih berfikir. Sedikit lambat. Seperti siput berjalan. Loading!



“Dorang bunuh orang Islam. Apa kaitan dengan boikot, ummi? Lagipun kawan-kawan cakap, kalau setakat kita je yang boikot, tak berubah apa-apa pun.” Aku menambah.



“Nabi kata, ‘Barangsiapa yang tidak mempedulikan hal ehwal umat Islam, mereka bukanlah dari golongan aku.’ Ummi tak nak ummi tergolong dalam golongan yang Nabi kata. Auni perlu ingat, walau hanya satu sen kita menyumbang pada dorang, ia mampu membentuk sebiji peluru yang menembusi perut dan kepala saudara kita di sana.” Ummi bersemangat.



Mata ku tidak berkedip mendengar penjelasan dari ummi. Sebelum ini aku tidak pernah berfikir sejauh itu. Aku suka mendengar kata-kata orang di sekeliling.




“Auni pernah dengar satu cerita tak? Yang mana Nabi Ibrahim pernah dicampakkan ke dalam api oleh kaum dia sendiri. Kemudian ada seekor burung mahu menyelamatkan Nabi Ibrahim. Burung itu berusaha cari air dengan paruh kecilnya untuk memadamkan api tu. Seekor cicak memperlekeh usaha burung itu tadi. Lalu burung itu menjawab, ‘Sekurang-kurangnya aku berusaha dan aku punya jawapan untuk dijawab depan Allah nanti.’



Aku tersenyum.



“Auni, Allah tak melihat hasilnya. Allah melihat usaha kita, sayang. Bayangkan kalau yang di bunuh tu adik kita. Mak kita. Ayah kita. Kakak kita. Macam mana? Apa reaksi kita? Doa tanpa usaha itu sia-sia, Auni. Nak jihad kat sana kita tak mampu. Ni pun salah satu jihad kita dari jauh. Allah pasti dah sediakan sesuatu untuk kita.”



Speechless.



Mulai dari malam itu, aku bertekad untuk memboikot barangan Yahudi. Pada mulanya agak sukar. Mana mungkin perkara yang sudah sebati dengan kita selama berbelas-belas tahun dapat dikikis dengan mudah.




Terliur tengok orang makan McD. Terliur tengok orang makan KFC. Terliur tengok orang makan Snickers! Itu kegemaran aku. Kesukaan aku. Bayangkan betapa sukarnya menahan nafsu untuk makan atau buat perkara yang kita suka selama ini. Tapi syukur pada Allah. Setiap kali diri tak mampu bertahan dan cuba menggapai barang-barang Yahudi, Allah gambarkan setiap apa yang berlaku di Palestine dan Syria.



Sungguh! Aku menggigil.



‘Kau kata kau nak syahid. Kalau setakat benda macam ni tak mampu nak bertahan, macam mana nak syahid. Kau nak pahala jihad, kau lawan sungguh-sungguh.’



Itulah cara aku memujuk hati. Alhamdulillah, Allah selalu memudahkan sesuatu yang baik. Sekarang aku sudah terbiasa dengan kehidupan ‘jihad boikot’. Kadang-kala sampai terlupa adanya KFC, McD dan sebagainya.



“Tak mati pun kan tak makan benda-benda tu?” Ummi tersenyum.



Aku mengangguk dan tertunduk.




Aku bahagia. Aku baik-baik saja. Aku tak mati kelaparan tanpa benda-benda itu semua. Jadi, apa lagi alasan kalian untuk terus menyokong barangan Yahudi?




Susah?? Memanglah susah sebab syurga Allah itu dipagari ujian. Neraka je dipagari nikmat. Apa tunggu lagi? Moh kita jihad boikot! Mudah-mudahan kita peroleh pahala jihad dunia dan akhirat. Allahuakbar!



Sekurang-kurangnya aku ada jawapan bila Allah bertanya pada ku nanti.




Nov 22, 2013

Part 8 : Madrasah Cinta

Selama hampir sebulan di madrasah cinta ini. Aku juga sudah bertukar tugas. Daripada menjadi pengasuh anak-anak kecil kepada guru anak-anak PASTI berusia 3 dan 4 tahun.



Kenapa madrasah cinta?



Kerana madrasah bermaksud sekolah. Tempat kita menuntut ilmu. Tempat kita belajar. Cinta bermaksud perasaan sayang terhadap seseorang atau sesuatu.



 Aku namakannya madrasah cinta kerana di sini tempat aku belajar mengenal Allah. Belajar mengenal perjuangan. Belajar mengenal kehidupan. Belajar bagaimana untuk mencintai setiap apa yang Allah perintahkan. Belajar untuk taat kepada-Nya.



     Anak-anak PASTI disini hebat-hebat. Aku sendiri terkejut bilamana anak-anak sekecil mereka menghafal beberapa hadis Nabi. Sedang aku?? Terlopong!



     Tepat jam 10 pagi mereka sudah bersedia dengan bekal makanan masing-masing. Tapi tak sampai 10 minit semua menghilang. Yang kecil-kecil 3, 4 tahun ni sibuk bermain-main. Sedang aku menghabiskan makanan lebihan anak-anak ini, tiba-tiba bahu ku ditepuk dari arah belakang. Tersedak aku dibuatnya.



     Si Luqman. Anak PASTI berusia 5 tahun. Wajahnya tampan dan berkulit cerah.



     “Cikgu, cikgu..kami dah dhuha. Cikgu dah dhuha?” Tersentap dengan soalan si cilik ini. Anak sekecil 5 tahun ini sudah tahu amalan sunat yang digalakkan.
    


     Patutlah semua menghilang. Rupa-rupanya mereka berebut mengambil wudhuk dan menunaikan solat dhuha secara berjemaah di dalam kelas. Itu hasil didikan ummi. Anak-anak akan hebat jika pendidiknya hebat.




     Malunya dengan mereka. Allahurabbi. 

Part 7: Madrasah Cinta

Hampir dua minggu aku di sini. Minggu lepas masa minggu pertama di sini, ummi bawa aku bercuti di Mersing. Dua hari bermalam di resort.



     Aku teringat ketika ummi ajak berjalan-jalan di sekitar pantai. Kami terjumpa satu tempat cantik yang tersorok di sebalik hutan kecil di situ. Setelah puas bergambar, ummi mengajak aku dan Zulaikha bermain air.



     Zulaikha turut serta tanpa membantah. Aku mengelak sehabis yang mungkin. Mana tidaknya, aku hanya membawa sehelai tudung. Kalau basah, aku nak pakai tudung mana lagi?



     “Auni, jomlah mandi! Best, tau!” Ummi mempelawa. Pada hakikatnya, aku sudah pun tergoda dengan air biru yang kehijauan di situ. Tapi. . .



     “Takpe la, ummi. Auni tak bawa tudung lebih. Kalau basah tudung ni, Auni nak pakai apa balik nanti.” Kaki ku menguis pasir pantai. Aku cuba menolak dengan baik.



     “Ummi ada bawa tudung lebih. Ikha pun ada bawa tudung lebih.” Ummi memujuk.



     Alamak. Tudung ummi dan Zulaikha besar-besar. Labuh. Aku masih tak bersedia untuk memakainya. Sungguh!



     “Tak nak la ummi. Auni tak selesa pakai tudung tu. Auni nak pakai tudung ni juga.” Aku memang jenis yang begini. Kalau tak suka sesuatu, hanya sekali sahaja aku menolak dengan baik. Setelah itu, harap maaf.



     Sedangkan tudung yang aku pakai itu sememangnya sangat pendek. Tutup dada? Erk. Memang tak la. Sampai sekarang aku masih menyimpan tudung kecil itu. Hanya dipakai ketika hendak memakai telekung solat.



     “Auni nak nampak cantik kan?” Tiba-tiba ummi menyoal ku sebegitu. Aku mengangguk.



     Lalu ummi menyambung semula,




     “Auni nak nampak cantik di mata manusia ke di mata Allah?” Soal ummi sambil tersenyum.



     Aku ??



     Sumpah! Aku terkedu. Tapi aku tetap enggan menerima pelawaan ummi. Sedang asyik aku berjalan-jalan di pesisir pantai, aku terdengar bunyi telapak kaki orang yang sedang berlari menuju ke arah aku dari belakang. Aku memaling ke belakang.



     Zulaikha. Dia menggenggam segumpal pasir pantai di tangan kanannya. Mahu dilempar ke arah aku?? Ini pasti kerja ummi! Tak berputus-asa kedua-dua beranak ini.



     Aku berlari sekuat yang mungkin agar tudung ku tidak dikotori pasir yang basah itu. Tapi, ditakdirkan Allah kaki ku tersadung pada timbunan pasir. Aku tidak tahu dari mana munculnya timbunan itu.



     Dengan sekelip mata sahaja aku basah kuyup. Ya. Aku terjatuh ke dalam air biru yang menggoda itu. Ummi tergelak besar. Zulaikha tersengih.



     Akhirnya mereka berjaya membasahkan tudung ku. Huh. Aku bergegas bangun. Menepuk-nepuk pasir yang melekat di tudung. Buat cool.



     Sampai sahaja di bilik, aku terus membasuh tudung ku. Diperah airnya sekering yang boleh. Lalu aku sidai pada kerusi di luar bilik. Tidak sampai lima minit, hujan turun dengan lebat!




     Wallahi, tadi matahari panas masih memancar. Tiba-tiba sahaja hujan. Seperti satu petanda. Aku terfikir dan tertanya-tanya. Tapi kedegilan ku sukar untuk dikikis.




     “Tudung tu takkan kering, Auni. Ambil ni, tudung Ikha.” Ummi menghulur tudung labuh berwarna coklat kepada ku.




     “Tak nak. Ummi la ni. Habis tudung Auni basah. Biarlah tak kering pun. Auni pakai je nanti.” Ummi tersenyum sambil menggeleng.





     Walaupun dalam hati ini ada rasa serba salah dan masih memikirkan petanda demi petanda, aku tetap berkeras dengan kehendak ku. Ummi hanya membiarkan aku begitu bersama senyumannya.

Part 6. : Madrasah Cinta

Beg bagasi ku masih penuh dengan pakaian. Almari Zulaikha sudahpun dikemaskini agar pakaian ku juga dapat di masukkan ke situ. Satu persatu aku keluarkan pakaian ku. Ketika sedang membelek-belek baju yang ada tiba-tiba ummi muncul di depan pintu bilik.


Ummi tersenyum.


“Eh, dah bangun? Sekejapnya.” Kata ku.


“Ummi tak tidur pun. Tak boleh lelap pula tengahari ni. Auni baru nak simpan baju?” Soal ummi.


“A’ah, ummi. Ummi tolong Auni boleh?”


“Tolong apa?” Ummi menjungkit keningnya.


“Tolong Auni ‘tapis’ baju-baju yang boleh dipakai dan tak boleh dipakai.” Tidak semena-mena saja aku membuat permintaan sebegitu. Erk. Tapi, mungkin juga ini jawapan bagi persoalan aku tadi. Daripada mana aku harus bermula. Mungkin? Ya, mungkin.


“Yang ni?”


Ummi menggeleng.


“Yang ni?”


Ummi menggeleng.


“Yang ni? Boleh kan?” Mengharap jawapan ‘Ya’ dari mulut ummi. Oh, please !


Ummi tersenyum.


“Boleh, sayang. Tapi, pakai dalam rumah je.”


‘Erk. Dalam rumah je? Pun bolehlah daripada tak boleh langsung’. Detik hati ku.


Baju berlengan panjang dan berwarna biru tua. Baju kesayangan ku. Silapnya baju itu sedikit singkat. Hanya separa punggung yang dapat di tutup. Hmm. Tak mengapalah.


“Yang ini, ummi?”


Ummi menggeleng lagi.


Hampir kesemua baju yang aku bawa tidak menepati ciri-ciri yang menyenangkan hati ummi. Inikan lagi di mata Sang Illahi. Allahurabbi.


Tiba-tiba sahaja ummi bangun meninggalkan aku tanpa kata. Macam pelik. Belum habis lagi sesi ‘menapis’ baju-baju ini, tapi ummi…


“Auni, ambil ni!”


Ummi muncul kembali. Ummi menghulurkan beberapa pakaian kepada ku. Hampir tujuh helai. Satu persatu aku buka lipatan baju yang ummi berikan. T-shirt muslimah. Semua cantik-cantik.


“Ummi bagi Auni ke?”


“Ya, ambillah. Tak payah bayar.” Ummi tersenyum.


“Tapi, ummi kan meniaga baju-baju ni. Mana nak dapat untung kalau bagi free macam ni, ummi.”


Ummi tersenyum. Aku pelik. Setiap kali aku berbicara, ummi pasti tersenyum. Rasanya tak ada yang kelakar. Tapi, itu melambangkan ummi seorang yang sangat cool!


“Kalau tak dapat untung, takde la ummi bagi Auni free.” Ummi mencebek.


“Maksudnya?” Soal ku lagi.


“Insha Allah, untungnya ummi dapat di akhirat. Kita boleh beli dunia dengan duit, tapi akhirat tak boleh di beli dengan duit. Inilah caranya nak ‘beli’ akhirat.” Sambung ummi.


Oh. Aku faham. Ummi bantu aku dengan memberi baju-baju muslimah ini seperti bersedekah di jalan Allah. Pandai ummi cari saham untuk ‘akaun’ akhirat dia. Boleh tiru nanti! Hehe.


"Baju-baju yang tak boleh pakai ni nak buat apa ummi? Bukan ke dikira membazir kalau kita beli tapi kita tak guna?" Soal ku untuk mendapatkan kepastian.


"Allah itu memahami keadaan kita, Auni. Baju-baju ni Auni balik nanti Auni simpan dalam kotak. Jangan buka-buka dah. Kalau Auni buka, Auni pasti ada rasa sayang lagi. Tak mustahil Auni akan pakai balik." 


"Kalau Auni bagi pada orang?" Soal ku lagi.


"Boleh bagi pada orang. Tapi baju-baju ni saiz untuk budak-budak kecil. Jangan pula bagi pada orang dewasa. Kalau mereka pakai pakaian yang tak syar'ie macam ni, Auni pun turut sama tanggung dosa mereka tau." Tambah ummi.


Bersambung. . .



Nov 20, 2013

Part 5 : Madrasah Cinta

Seawal lima pagi aku dikejutkan. Sukar sekali untuk membuka kedua kelopak mata ini. Mungkin terlalu banyak menangis sejak akhir-akhir ini.


Ada seseorang yang sedang memerhatikan aku. Tangannya mengusap lembut pipi ini. Samar! Aku cuba pejamkan kembali mata yang sudah mula berair.


“Mata Auni pedih.” Suara ku lemah.


“Banyak sangat menangis tu. Jomlah qiam. Dah jam lima.”


Seperti biasa ummi akan kejutkan anak-anaknya dan juga ayah. Qiamulail merupakan perkara yang diwajibkan bagi setiap ahli rumah ummi. Pada mulanya memang susah untuk biasakan diri. Allah saja yang tahu betapa susahnya untuk kejutkan aku. Huh.


Selesai qiamulail, ayah dan adik-adik akan ke masjid untuk tunaikan solat subuh berjemaah di sana. Kami yang muslimat hanya solat berjemaah di rumah. Itu lebih afdhal.


Seperti biasa, orang yang akan tersadai di tikar sejadah selepas subuh itu adalah aku. Ummi dan Syuhada pasti menggeleng kepala. Mereka memahami keadaan aku yang baru sahaja melangkah dan bertatih kembali.


Cuma beberapa minit sahaja dapat lelapkan mata. Ummi takkan sesekali benarkan aku tidur hingga ke tengahari. Erk. Hampir jam tujuh anak-anak asuhan pasti sampai di depan pintu rumah. Tugas ku, memandikan mereka.


Itu waktu hari bekerja. Kalau waktu cuti, jam tujuh ummi akan bentang alas tempat tidur di ruang tamu. Untuk apa? Untuk bersantai-santai sambil mendengar kuliah di radio IKIM fm. Awesome! Walaupun tak selalu pergi kuliah di masjid, di radio IKIM fm pun boleh dapat ilmu juga. Alhamdulillah.



Kata-kata dari ummi tempoh hari berkenaan ayat kelima Al-Fatihah itu masih terngiang-ngiang di telinga. Anak-anak asuhan dan anak-anak PASTI semuanya sudah pulang ke rumah masing-masing. Rumah ummi kembali sunyi. Kebiasaannya pada waktu ini ummi akan qialullah sementara menunggu Zohor.


Aku??



Entahlah. Mengantuk, tapi mata ini tak mahu lelap pula. Aku masih memikirkan daripada mana aku harus bermula. Hijrah. Hijrah. Berubah. Berubah. Daripada mana ya? 


Bersambung. . .