Mar 29, 2013

My First Talk


Kelas Pengucapan Awam bersama Ustaz Ainuddin. My First Talk. Nervous tak terkata. Tapi perlu juga kuatkan semangat ! 

Mar 23, 2013

Ibarat Menggenggam Bara Api

"Sama ada berubah ataupun tidak, manusia selalu memberi layanan yang sama. Menghukum. Ya, menghukum sehingga membuatkan orang yang ingin berubah itu jatuh tersungkur sekali lagi. Itulah manusia yang merasa dirinya lebih hebat dari Allah. Menilai dengan sendiri. Menghukum dengan 'tangan' sendiri.

Niat. Ya, niat untuk sesuatu perubahan itu mestilah ikhlas hanya kerana Allah. Barulah kekal dan kuat untuk terus mujahadah. Tetapi ! Fahamilah juga fitrah seorang manusia yang mengharapkan sokongan dari orang lain juga. Kerana itu Allah jadikan pertemuan. Kerana itu Allah jadikan ukhuwah.

Untuk kita saling bantu-membantu. Bukan untuk saling menghukum dan mencerca seolah-olah diri kita ini maksum, tiada dosa. Hari ini mungkin hari orang lain. Hari esok ? Lusa ? Mungkin pula hari kita. Bagaimana rasanya jika kita bersusah payah berjuang dan mujahadah sehingga mampu untuk berdiri sendiri, tetapi orang disekeliling kita tetap memandang kita hina ?

Kita mampu untuk bersangka baik. "Inilah ujian untuk aku berbuat sesuatu kebaikan." " Sabar. Istighfar." Itu diantara pengubat hati. Tapi ternyata ada satu kebohongan jika hati kita akan terus terubat dengan kata-kata itu. Pasti tercalit sedikit kesedihan dan rasa berputus asa. "


Luahan rasa seorang manusia biasa. Itulah keadaan hatinya. Walaupun tidak banyak, pasti ada sekelumit rasa kecewa dengan penerimaan orang lain terhadap perubahannya.

Bagi sesiapa yang cuba berubah, termasuklah diri sendiri..Tetapi masih dihukum oleh manusia sekeliling, jangan berputus asa kerana pandangan Allah terhadap mu lebih besar dan luas berbanding pandangan manusia yang selalu salah. Biarkan mereka berkata sesuka hati mereka.


Kata Rasulullah, tiada jalan yang senang untuk sesuatu perjuangan. Ibarat menggenggam bara api. Jika jalannya mudah, itu bukan perjuangan namanya. Sabar. Allah akan memberi ganjaran yang tiada batas bagi orang-orang yang bersabar. Luruskan kembali niat mu. Allah tidak pernah menjauhi mu selagimana kau cuba mendekatiNya.

Sabda Rasulullah lagi, dalam hadits Qudsi, 

"Jika hamba-Ku mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat padanya satu hasta. Jika ia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku mendekat padanya sedepa. Jika datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku datang kepadanya secara berlari." (Diriwayatkan Al-Bukhari)

Jadi, jangan bimbang jika perubahan mu menuju Allah tidak diendahkan kerana nilai perubahan, perjuangan dan mujahadah mu sudahpun Allah ambil kira. Berpeganglah pada kata-kata ini,

"Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis."

Ibarat pesakit dengan ubat yang pahit. Jika dia mahu sembuh dan kembali baik, dia perlu menelan ubat yang pahit selain tawakkal kepada Allah.  Begitu juga sebaliknya. Jika dia enggan menelan ubat yang pahit itu, dia akan terus kekal berpenyakit sehingga ke akhirnya.

Mar 18, 2013

Jika Ia Adalah Rindu


Aku lihat, aku dengar bahawa mereka selalu merindui kekasih mereka. Bagaimana pula dengan aku ? Ya, aku juga merindui. Tetapi tidak berani mengatakan bahawa ‘dia’ kekasih ku kerana peribadi ku tidak sepertinya.

Sejak aku melihat dunia, aku tidak pernah merasa bagaimana keadaan hati orang yang tertaut dengan kasih dan cinta mu, ya habibullah. Aku tidak pernah mengendahkan kewujudan mu. Apa yang aku tahu, aku perlu belajar sirah mu untuk memenuhi silibus matapelajaran.

Aku tahu akan kehadiran mu tetapi aku tidak beriman dengan mu. Bagaimana mungkin aku mengikuti akhlak dan peribadi mu sedangkan kewujudan mu sendiri aku tidak pernah hayati. Allahu ya Allah.

Tapi kini…

Setelah hampir 21 tahun aku melihat dunia…baru sekarang aku merasa sesuatu tatkala mendengar nama mu di sebut-sebut. Aku tidak pasti adakah ini perasaan rindu atau selainnya. Hati ini seperti dijentik-jentik. Dalam tidak sedar, hanya airmata yang menemani.

Adakah ini salam rindu dari mu yang baru kini ku rasakan sejak berabad lamanya kau tinggalkan kami ya Rasulullah ?

Jika rasa ini sekadar persinggahan, mana mungkin aku mengalirkan air jernih ini untuk kesekian kalinya. Jika rasa ini sekadar perasaan biasa, mana mungkin aku teresak-esak ketika menyebut nama mu dalam doa ku.

Ya Rasulullah. Maafkanlah umat mu yang tidak berjaya menteladani akhlak mu ini. Maafkanlah aku kerana tidak mampu jadi umat mu yang terbaik seperti yang kau harapkan. Maafkanlah aku yang banyak mengecewakan mu. Doakanlah aku bertemu dengan mu ya Rasulullah. Aku…merindui mu.

Wahai Allah yang berada di Arasy sana. Jika benar rasa ini adalah rasa rindu seorang umat kepada kekasih Mu, sampaikan padanya bahawa aku juga merinduinya. 

Mar 9, 2013

Kembara Mencari Cahaya


Hari terakhir di sini. Ku cuba mengintai ke luar jendela. Awan putih sudahpun bertukar warna. Sarat menampung air yang disejat cahaya matahari terik. Terdetik di hati untuk ke sana lagi. Rasa rindu semakin membuak-buak. Ku atur langkah ke kamar dan menggapai sebuah beg galas yang sudah tersedia barang-barang keperluan ku. Masa untuk kembali ke sana.

Perjalanan ke sana tidak lama. Bibir mengukir senyuman, tetapi degupan jantung ini mengundang air di kelopak mata. Mungkin ini rasa yang aku cari. Langkah kaki semakin bergetar apabila menjejaki rumah Allah itu. Satu demi satu anak tangga dinaiki. Sampai juga diruang solat muslimat.

Ruang solat yang ada dipenuhi dengan muslimat yang sedang solat. Ruang di sebelahnya pula penuh dan sibuk dengan anak-anak kecil yang sedang seronok belajar mengaji. Khusyuk sekali melihat mereka sehingga tidak perasan yang aku sedang berdiri di tengah-tengah ruang sambil diperhati makcik-makcik di situ. Malunya.

Dengan pantas aku berjalan menuju ke sudut ruang solat. Duduk dan sambung memerhati mereka sambil membaca al-Quran yang berada di tangan bagi menghabiskan hafazan untuk kelas Qiraat dan Hafazan.

Namun tidak lama aku di situ. Terlalu sukar untuk menghafaz al-Quran dalam keadaan hingar-bingar bunyi anak-anak kecil belajar mengaji dengan alat ketukan mereka. Lantas aku bangun dan keluar dari ruang itu. Mencari-cari tempat di mana aku boleh duduk sendirian. Puas aku berlegar-legar di rumah Allah yang sangat luas itu. Bermandi keringat.

Terasa janggal apabila setiap manusia di situ merenung aku seperti aku tidak mempunya kaki. Allahurabbi. Mungkin mereka pelik kerana aku berjalan sendirian tanpa teman seperti mereka. Bersangka baik. Sedang kaki ini ligat mengatur langkah, aku terpandang satu sudut yang luas tanpa lindungan bumbung. Tiada sesiapa di situ. Tersenyum. Ini tempat untuk ku.


Rasa begitu nyaman disapa hembusan angin. Langit kembali cerah. Tenang sekali berada di ruang seluas itu di temani kalam Allah. Bagaimana hendak ku gambarkan rasa di hati pada ketika itu ? Subhanallah ! Hanya Dia yang tahu betapa aku bahagia menemui hati ini kembali.

Aku mendongak lagi ke langit. Berbicara dengan Allah yang sedang memerhati setiap gelagat hambaNya di pentas dunia ini. ‘Wahai Allah yang berada di Arasy sana. Mampukah hati ini bertahan selama-lamanya ? Hanya Engkau yang tahu mampu atau tidak. Tolonglah genggam hati ini dan jangan Kau lepaskan walau sesaat sekalipun. Tidak sanggup untuk aku rasa derita kerana jauh dari Mu lagi.’

Aku tahu Engkau mendengar.

Bagi aku, uzlah (mengasingkan diri) sangat penting untuk memberi ruang kepada hati berbicara dengan Allah dengan lebih dekat. Antara aku dan Dia. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk beroleh semula ketenangan hati. Tapi bagi aku, inilah jalan yang terbaik.

Sudah lama aku berada di sini. Berbicara dengan Dia melalui kalam-kalam-Nya. In shaa Allah, hati yang pernah aku miliki dahulu sedang beransur-ansur kembali. Mudah-mudahan aku tetap istiqamah selepas pengembaraan ini.


Mar 8, 2013

Biarkan Aku Berbicara Dengan Diri Ku Sendiri


Entah berapa lama aku akan mengambil masa untuk kembali pulih seperti sediakala. Sehari ? Dua hari ? Seminggu ? Sebulan ? Setahun ? Aku sendiri tiada jawapan yang pasti. Hanya kerana kebodohan menyembah dunia, aku kehilangan harta yang paling berharga dan paling bernilai.

Hati.

Ya, aku kehilangan hati yang sihat dan sejahtera. Masa yang begitu panjang diambil untuk memupuk dan membina sekeping hati yang rosak satu ketika dahulu. Bertahun-tahun. Namun, kerana kelalaian sendiri dalam masa satu saat sahaja hati ini tersungkur kembali. Hilang. Terbang.

Aku tidak berniat untuk lari dari masalah atau lari dari tanggungjawab. Tetapi bebanan yang ada di dalam hati ini terlalu berat sehingga aku tidak mampu untuk menceritakan kepada sesiapa melainkan Dia. Allah yang merupakan sebaik-baik pendengar.

Pada ketika itu aku jadi kaku. Terpana di hadapan meja. Otak terasa kosong. Apa yang ada hanyalah rasa sayu dan rasa rindu. Rindu kepada diri yang dahulunya gagah berdiri bercerita soal perjuangan. Ini masanya untuk kau berbicara dengan diri mu sendiri. Ini masanya untuk kau bangkit dan kembali pada Tuhan mu. Pergilah ! Pergi jauh dari sini…

Kini aku jauh dari kalian. Jauh dari bumi ilmu yang barakah itu. Aku perlu masa untuk bersendiri. Jangan ditanya kemana pemergian ku. Biarkan aku disini bersama Tuhan ku. Aku perlu berbincang dengan diri ku sendiri.

“Pada siapakah yang kau rindu ? Tidakkah kau rindu kepada diri mu yang pernah setia merindui Dia ? Kemana hilangnya diri itu ? Sudah tiba masanya. Pulanglah !”

“Pada ketika seluruh orang soleh sibuk mengejar syurga, sibuk berjuang, apa yang sedang kau lakukan ? Kau terbuai dengan kehidupan persahabatan mu !”

“Pada siapa kau campakkan kemarahan ketika kau ditimpa ujian ? Kau bersangka buruk dengan Tuhan mu ! Dengan lancang kau memarahi Dia ! Kau perlu sedar bahawa kau telah khianati Dia yang setia dengan mu selama ini !”

“Pada siapa kau bergantung ketika kau diberi nikmat hidup senang ? Kepada dunia kau bergantung ! Kau harapkan manusia berbanding Dia ! Kerana semua inilah hati mu rosak ! Pulanglah..”


Penguzlahan dan juga pengembaraan selalu membuat aku segar dan ingin kembali pulang. Beginilah cara ku. Biarkanlah aku beruzlah seketika waktu bersama Tuhan ku sehingga aku temui hati dan kekuatan yang pernah ku miliki satu masa dahulu supaya aku tidak lagi memudaratkan kehidupan ku dan kehidupan orang di sekeliling ku. Mudah-mudahan.





Tolonglah Berhenti, Pakcik !


Hampir setengah jam melihat pemandu bas itu berlegar-legar ke sana ke mari. Apalah yang di cari daripada tadi agaknya. Pintu bas tidak juga di buka-buka. Matahari makin membahang sehingga terasa basah satu badan bermandi keringat. Allahurabbi. Bagaimana agaknya keadaan ku ketika di mahsyar nanti. Bertahanlah. Baru sedikit ujian buat mu.

Setelah menunggu dan menunggu, kelihatan beberapa orang yang sedang menunggu bersama ku tadi berjalan menuju ke arah pintu bas. Pasti pintunya sudah di buka. Masa untuk beratur. Pada ketika itu sudah jam empat petang. Sebentar lagi masuk waktu asar. Alhamdulillah, sebelum datang ke terminal aku sudahpun menunaikan solat Zohor.

Sekarang tiba giliran ku untuk menunjukkan tiket bas. Sementara menunggu pemandu bas memeriksa kertas yang berada ditangannya, aku beranikan diri bertanya kepadanya walaupun wajah pemandu bas itu sedikit garang.

“Nanti berhenti solat asar tak ?” Pemandu bas itu mendiamkan diri. Mungkin mencari jawapan. Bersangka baik.

“Tak reti jamak ke?? Awak kan musafir !” Allahurabbi. Tersentap jantung buat seketika. Lancang mulutnya mengeluarkan kata-kata sekeras itu. Mahu sahaja aku menangis di situ. Tapi aku kuatkan hati menjawab semula kata-katanya. Bukan mahu biadap tetapi ingin membetulkan apa yang diperkata.

“Ya, memanglah saya musafir. Tapi saya tak boleh jamak sebab saya masih berada dalam kawasan mukim saya.” Terus aku mengatur langkah masuk ke dalam bas dengan harapan dia akan berhenti untuk memberi ruang kepada kami yang tidak solat jamak sebelum berangkat.

Berdegup kencang jantung ini menahan marah. Istighfar, istighfar. Sabar, sabar. Itulah pengubat hati. Sedikit sahaja ujiannya. Aku cuba menyeka rasa tadi dengan melelapkan mata sebentar. Namun tidak lena kerana asyik terfikirkan soal solat Asar ku. Berkali-kali melihat jam. Bas masih berjalan laju seperti tidak mahu berhenti.

Aku memandang ke luar tingkap. Melihat hari semakin gelap. Makin lama makin tidak selesa seperti cacing yang kepanasan. Aku mendongak ke langit dan cuba berbicara dengan-Nya melalui doa.

‘Wahai Allah yang berada di Arasy sana. Detikkanlah ke dalam hati pakcik ini untuk berhenti. Lembutkan hatinya, Ya Allah. Sekarang sudah 6.30 petang. Aku masih tidak solat Asar. Tolonglah Ya Allah. Bukakan pintu hati pakcik ini untuk berhenti.’

Aku cuba menahan airmata dari mengalir. Sudahlah hati ku sedang sakit tenat. Pakcik ini pula tidak mahu berhenti. Tolonglah berhenti pakcik ! Janganlah zalimi saya !

Sejurus hati ku berkata sedemikian, tiba-tiba terasa seperti bas mula berjalan perlahan. Aku cuba mengintai di luar tingkap. Subhanallah ! Surau ! Tertunggu-tunggu juga pakcik itu memberi arahan berapa minit perlu naik ke bas semula atau berhenti berapa minit. Tapi dia mendiamkan diri.

Ah, sudahlah. Jika ditunggu arahannya, memang tak turun solat la aku. Biarkan saja dia yang berlalu keluar tanpa sepatah kata tu. Sepantas yang mampu aku mengatur langkah mencari pintu surau. Syukur sebelum naik bas tadi sudah bersedia dengan wudhuk. Jadi, tak perlulah ambil masa yang panjang. Terus solat je. Nanti ada pulak kes kena tinggal bas. Hmm..

Please take note.

Fikirlah siapa yang tak suka jalan mudah yang Allah bagi ? Semua orang suka. Semua orang nak jalan mudah. Tapi bilamana kita masih berada dalam kawasan mukim kita, jangan senang-senang nak suruh kita jamak. Tolong fahami konsep jamak tu macam mana.

Orang lain pun penat bekerja tapi janganlah sampai biadap macam tu bila orang bertanya tentang solat. Lagipun, apalah salahnya berhenti 10 minit untuk bagi ruang pada orang yang tak solat jamak ? Nak kejar masa ?? Ya, tapi janganlah zalimi orang lain sampai tak solat.

Allahurabbi.