Mar 23, 2013

Ibarat Menggenggam Bara Api

"Sama ada berubah ataupun tidak, manusia selalu memberi layanan yang sama. Menghukum. Ya, menghukum sehingga membuatkan orang yang ingin berubah itu jatuh tersungkur sekali lagi. Itulah manusia yang merasa dirinya lebih hebat dari Allah. Menilai dengan sendiri. Menghukum dengan 'tangan' sendiri.

Niat. Ya, niat untuk sesuatu perubahan itu mestilah ikhlas hanya kerana Allah. Barulah kekal dan kuat untuk terus mujahadah. Tetapi ! Fahamilah juga fitrah seorang manusia yang mengharapkan sokongan dari orang lain juga. Kerana itu Allah jadikan pertemuan. Kerana itu Allah jadikan ukhuwah.

Untuk kita saling bantu-membantu. Bukan untuk saling menghukum dan mencerca seolah-olah diri kita ini maksum, tiada dosa. Hari ini mungkin hari orang lain. Hari esok ? Lusa ? Mungkin pula hari kita. Bagaimana rasanya jika kita bersusah payah berjuang dan mujahadah sehingga mampu untuk berdiri sendiri, tetapi orang disekeliling kita tetap memandang kita hina ?

Kita mampu untuk bersangka baik. "Inilah ujian untuk aku berbuat sesuatu kebaikan." " Sabar. Istighfar." Itu diantara pengubat hati. Tapi ternyata ada satu kebohongan jika hati kita akan terus terubat dengan kata-kata itu. Pasti tercalit sedikit kesedihan dan rasa berputus asa. "


Luahan rasa seorang manusia biasa. Itulah keadaan hatinya. Walaupun tidak banyak, pasti ada sekelumit rasa kecewa dengan penerimaan orang lain terhadap perubahannya.

Bagi sesiapa yang cuba berubah, termasuklah diri sendiri..Tetapi masih dihukum oleh manusia sekeliling, jangan berputus asa kerana pandangan Allah terhadap mu lebih besar dan luas berbanding pandangan manusia yang selalu salah. Biarkan mereka berkata sesuka hati mereka.


Kata Rasulullah, tiada jalan yang senang untuk sesuatu perjuangan. Ibarat menggenggam bara api. Jika jalannya mudah, itu bukan perjuangan namanya. Sabar. Allah akan memberi ganjaran yang tiada batas bagi orang-orang yang bersabar. Luruskan kembali niat mu. Allah tidak pernah menjauhi mu selagimana kau cuba mendekatiNya.

Sabda Rasulullah lagi, dalam hadits Qudsi, 

"Jika hamba-Ku mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat padanya satu hasta. Jika ia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku mendekat padanya sedepa. Jika datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku datang kepadanya secara berlari." (Diriwayatkan Al-Bukhari)

Jadi, jangan bimbang jika perubahan mu menuju Allah tidak diendahkan kerana nilai perubahan, perjuangan dan mujahadah mu sudahpun Allah ambil kira. Berpeganglah pada kata-kata ini,

"Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis."

Ibarat pesakit dengan ubat yang pahit. Jika dia mahu sembuh dan kembali baik, dia perlu menelan ubat yang pahit selain tawakkal kepada Allah.  Begitu juga sebaliknya. Jika dia enggan menelan ubat yang pahit itu, dia akan terus kekal berpenyakit sehingga ke akhirnya.

No comments: