Aug 17, 2016

Wanderlust : Pulau Kapas

Assalamu’alaikum guys !

So, weekend baru-baru ni auni pergi short vacay ke Pulau Kapas, Terengganu. Pergi pun takde la plan bukan main lama. Macam kejap jadi, kejap tak jadi. Memang tak ambil mana-mana pakej sebab nak buat travel bajet macam tu je. Kira main redah je pergi. Auni just nak share cerita dengan korang mana tahu lepas ni korang pun ada plan nak pergi sana kan ?



13/08/2016

Disebabkan pergi ni memang nak bajet, so, auni pergi by bus dari Terminal Sentral Kuantan. Kalau naik kereta, kena fikir duit minyak, duit tol lagi kan ? Nanti lari bajet. Sehari sebelum auni pergi beli tiket bas Transnasional dengan harga RM19.80 sehala. Kalau pergi balik seorang dari Kuantan dalam RM39.60. Dari negeri lain korang boleh check tiket bas online untuk harga okay !

Auni plan nak naik bot ke Pulau Kapas belah pagi sebab pagi-pagi suasana sejuk sikit. Takde la matahari terpacak atas kepala. So, auni ambil tiket jam 1 pagi dari Kuantan. Perjalanan naik bas ke sana ambil masa lebih kurang 3 jam. Auni memang dah research awal-awal kat mana tempat yang berdekatan dengan Jeti Pulau Kapas sebab auni taknak turun di Terminal MBKT, Kuala Terengganu. Kenapa ? Sebab pertama, ibarat patah balik. Dah la perjalanan dari Terminal MBKT ke jeti lebih kurang 20 minit. Sebab kedua, jimat dari kena bayar teksi. Haha.

Bila dah nampak signboard Marang auni terus cakap dengan pakcik bas tu auni nak turun dekat Masjid Sultanah Nur Zahirah. Kalau tak bagitahu awal-awal risau terlajak pula. Masjid tu dengan Jeti Pulau Kapas jalan kaki dalam 7 minit macam tu. Auni sampai masjid tu dalam jam 3.30 pagi. Disebabkan malam tu belum makan, auni turun bas terus jalan kaki dengan backpack dan segala barang yang ada tengah-tengah pagi buta tu cari kedai makan sebab lapar weh ! Nak tunggu hari cerah memang tak tahan dah. Bedal la sebungkus nasi minyak kat warung berdepan Petronas Marang tu tapi makan tak habis sebab perut dah masuk angin.

Habis makan, relax dulu bagi perut tak rasa senak baru la auni jalan kaki semula ke Masjid Sultanah Nur Zahirah tadi. Sementara tunggu azan subuh dapat la selelap tidur ngantuk sangat. Hikmahnya pagi tu dapat solat berjemaah. Ya Allah tenangnya jiwa. Dah lama tak solat jemaah ni. Entah la apa kena pagi tu macam mabuk tidur. Pulun tidur dengan telekung sampai la terjaga sendiri jam 7.30 pagi. Bangun terus siap-siap mandi semua kat situ then terus jalan kaki ke Jeti dengan konsep redah dan tawakkal. Hahaha. Elok-elok boleh sampai dalam masa 7 minit, dah jadi 15 minit sebab malas nak google dah. Ikut je kaki ni jalan. Tapi syok je sebab jalan time pagi sejuk siap feeling-feeling lagi suasana kampong. Sampai jeti auni beli tiket bot kat kaunter Makcik Gemuk Beach Resort. Paling awal bot jam 8.30 pagi. Tiket seorang pergi balik RM40 naik speedboat. Perjalanan dari jeti ke pulau dalam 15 minit bertemankan angin kuat dan ombak rindu. Serius best !




Sampai pulau baru la auni survey harga bilik. Mula-mula pergi Kapas Beach Chalet sebab dalam pamplet tulis kat situ ada bilik kipas harga RM50 untuk 1 malam. Tapi bukan rezeki auni kat situ. Bilik full. So, teruskan ke chalet sebelah, Ombak Kapas Island Beach Resort. Bilik kipas 1 malam RM100. Harga murah ada je tapi tidur dorm RM25-30. Toilet kongsi-kongsi. Part kongsi bilik air takde hal pun cuma memikirkan masa tu bawa barang-barang berharga. Memang takde jaminan la kalau tidur dorm sekali dengan orang luar kan. Rembat je la bilik RM100 tu. Kalau nak lagi murah boleh tidur khemah ! RM10 untuk sewa tapak. RM15 untuk sewa tapak dan juga khemah. Kat situ ada Harmony Campsite, Lokoloko Campsite, Longsha Campsite. Boleh search google k !




Masa sampai pulau jam 9 pagi macam tu. Orang checkout dalam 12.30 tengahari. Bertabah la lepak kat luar dulu sementara tunggu bilik kosong. Aktiviti first mesti la jalan-jalan tepi pantai selfie-selfie, posing-posing duluuu hahaha.


Kat area sini serius cantikkkkk sangat Masyaa-Allah !


Muka tak puas hati bila kita suruh ambil gambar angle depan, dia tetap duduk tepi. Haha


Ni gambar belah-belah tepi pulau. Kat sini serius air dia lagi cantik subhanallah ! Coral dekat-dekat tepi je. Jelas nampak coral sebab air dia jernih kristal. Maybe sebab area tepi-tepi pulau takde resort, so air dia lebih terjaga.

Jam 11 pagi patah balik pergi resort. Bersidai dekat kerusi santai sampai la ada bilik kosong bertemankan perut kriukkk kriukkk. Lapaq baq hanggg ! Jam 12 lebih baru dapat bilik. Mandi-mandi, rehat-rehat tunggu zohor lepas tu pergi makan. Makan tengahari dekat café resort juga, Ombak Café. Order nasi goreng ikan masin dengan teh o ais harga RM15 macam tu. Nak kata mahal, standard makan dekat mall la harga macam tu. Air tin RM3, air mineral botol besar RM4. Makna kata harga makan kat situ 2-3 kali ganda kat darat. Tapi puas hati sebab sedap dan nasi banyak !



Lepas lunch rehat santai-santai dulu atas buaian layan angin pantai sementara tunggu hari teduh sebab nak trekking dan hiking ke Bukit Singa petang tu.






View laut China Selatan. Subhanallah !

 Ni gambar-gambar kat atas Bukit Singa. Gerak dari resort jam 5 petang dan sampai kat atas dalam jam 5.40 petang. Nampak tak belakang tu bukit batu bentuknya macam singa tengah duduk ? Sebelum datang sini auni bayangkan kawasannya lapang rupa-rupanya sempit. Kalau nak hiking kat sini kena hati-hati la sebab angin laut china selatan agak kuat juga. Kalau badan sekeping macam auni ni rasa macam nak melayang je. Dah la kawasan terhad.

Perjalanan trekking ke sini lebih kurang 25 minit melalui persisiran pantai tapi ada juga part kena panjat-panjat batu. Hiking ke atas lebih kurang 10 minit. Kena panjat bukit tu lebih dari 45 darjah. Kena berpaut pada rumput-rumput sebab takde pokok. Kira kuat juga la rumput tu boleh bertahan. Mudah kata, jalannya tak susah cuma penat tu biasa la kan guna tenaga. Yang pasti bila sampai atas memang rasa tak nak turun, tak nak balik. View macam kat oversea ! Maybe sebab auni jenis yang cepat jatuh hati dengan view macam ni. Memang feeling-feeling gerua, janam janam dah kat atas tu. Puas hati ! Alhamdulillah.

Nak pergi Bukit Singa ni tak payah susah-susah nak ada tour guide ke apa. Pergi sendiri je. Yang penting pakai kasut yang bersesuaian. Kalau tak, melecet la kaki antum nanti. Jangan cari penyakit okay ? Pergi dalam keadaan sihat, balik pun kena sihat. Bereh ?

Dah puas dekat setengah jam posing-posing, feeling-feeling semua terus balik resort. Sampai resort dekat jam 7. Mandi-mandi, siap-siap untuk solat jamak maghrib isyak then keluar lepak tepi pantai sambil makan potato. Resort sebelah pula ada instrument live band. Hah ! Memang kena dengan jiwa la. Layan angin malam dengan muzik instrument memang syahdu terus. Time tu la teringat semua benda. Ya Allah nak nangis ! Okay part tu letak tepi. Hahaha.

So, untuk dinner auni tak makan dekat café resort dah sebab dah bawa mi sedap soto, biskut dengan white coffee dari Kuantan. Bancuh siap-siap kat bilik then makan kat tepi pantai. Jimat dah kat situ. Banyak masa untuk santai-santai dan relax-relax. Tapi banyak lagi aktiviti boleh buat kat sana cuma auni datang sini memang tak nak beraktiviti sangat. Nak bagi masa untuk diri sendiri je. Tenang-tenang gituuu. Korang boleh berkayak, snorkeling, diving, rock climbing.

Jam 12 malam auni dah masuk tidur. Bukan penat mana pun, maybe tak cukup tidur. Dari dalam bas tak tidur langsung. Tidur sekejap je kat masjid. Memang tak dapat la nak berjaga sampai tengah malam.

14/08/2016

Jam 6 pagi dah bangun. Settle solat subuh, auni breakfast dulu jam 6.30 pagi. Bancuh air kopi o panas then buat sandwich. Memang dah siap-siap bawa makanan. Tips jimat kata ko ! Haha. Jam 7.30 pagi dah start keluar bilik jalan-jalan ambil angin pagi sebab 10.30 pagi dah kena checkout.

Bilik comel ! Ada 2 single bed sekali bilik air dalam tu RM100 untuk 1 malam.

Dah lama berangan nak photoshoot gamba ala hipster. Hahaha

Masa ni tengah fikir nak kayak ke tak. Last-last tak kayak ponnn.


Last gamba kat depan resort sebelum naik bot. Bertabah je kawan melayan. Kikiki

Jam 9 pagi balik bilik kemas-kemas barang, mandi, siap-siap then call bot kat jeti bagitahu jam 11 pagi datang ambil kat pulau. Sampai jeti dalam jam 11 lebih. Cari teksi untuk ke Terminal MBKT, Kuala Terengganu. Sampai dalam jam 12 terus beli tiket bas Mutiara ke Kuantan jam 1.30 tengahari. Sementara nak tunggu bas pergi lunch dulu kat KFC sebelah terminal. Jam 1 pergi balik terminal. Terfikir la juga sempat ke tak nak solat zohor kat Kuantan tapi tak sedap hati. Pergi kaunter orang tu cakap sempat je nak solat zohor kat situ dulu. So, pergi la solat. Ngam 1.30 siap solat turun kat tempat menunggu tu. Tunggu punya tunggu tengok jam dah jam 1.55 petang. Takkan lewat betul bas sampai. Pergi kaunter tanya orang tu, dia boleh kata bas dah gerak sedangkan masa turun bawah tu baru 1.30 dan dah inform kat dia yang kita pergi solat kejap. Takde rasa bersalah langsung. Duit burn then kena beli tiket bas lain. Memang nak marah tapi bersangka baik jela. Rembat je mana-mana tiket then sampai terminal Kuantan jam 6 lebih naik bas Nini Ekspress. 

P/S : Terima kasih untuk kawan yang temankan koi pegi short vacay ni. Bertabahnya jadi photog tak bergaji. HAHA