Hari terakhir di sini. Ku
cuba mengintai ke luar jendela. Awan putih sudahpun bertukar warna. Sarat
menampung air yang disejat cahaya matahari terik. Terdetik di hati untuk ke
sana lagi. Rasa rindu semakin membuak-buak. Ku atur langkah ke kamar dan menggapai
sebuah beg galas yang sudah tersedia barang-barang keperluan ku. Masa untuk
kembali ke sana.
Perjalanan ke sana tidak
lama. Bibir mengukir senyuman, tetapi degupan jantung ini mengundang air di
kelopak mata. Mungkin ini rasa yang aku cari. Langkah kaki semakin bergetar
apabila menjejaki rumah Allah itu. Satu demi satu anak tangga dinaiki. Sampai
juga diruang solat muslimat.
Ruang solat yang ada dipenuhi
dengan muslimat yang sedang solat. Ruang di sebelahnya pula penuh dan sibuk
dengan anak-anak kecil yang sedang seronok belajar mengaji. Khusyuk sekali
melihat mereka sehingga tidak perasan yang aku sedang berdiri di tengah-tengah
ruang sambil diperhati makcik-makcik di situ. Malunya.
Dengan pantas aku berjalan
menuju ke sudut ruang solat. Duduk dan sambung memerhati mereka sambil membaca
al-Quran yang berada di tangan bagi menghabiskan hafazan untuk kelas Qiraat dan
Hafazan.
Namun tidak lama aku di situ.
Terlalu sukar untuk menghafaz al-Quran dalam keadaan hingar-bingar bunyi
anak-anak kecil belajar mengaji dengan alat ketukan mereka. Lantas aku bangun
dan keluar dari ruang itu. Mencari-cari tempat di mana aku boleh duduk
sendirian. Puas aku berlegar-legar di rumah Allah yang sangat luas itu.
Bermandi keringat.
Terasa janggal apabila setiap
manusia di situ merenung aku seperti aku tidak mempunya kaki. Allahurabbi.
Mungkin mereka pelik kerana aku berjalan sendirian tanpa teman seperti mereka.
Bersangka baik. Sedang kaki ini ligat mengatur langkah, aku terpandang satu
sudut yang luas tanpa lindungan bumbung. Tiada sesiapa di situ. Tersenyum. Ini
tempat untuk ku.
Rasa begitu nyaman disapa
hembusan angin. Langit kembali cerah. Tenang sekali berada di ruang seluas itu
di temani kalam Allah. Bagaimana hendak ku gambarkan rasa di hati pada ketika
itu ? Subhanallah ! Hanya Dia yang tahu betapa aku bahagia menemui hati ini
kembali.
Aku mendongak lagi ke langit.
Berbicara dengan Allah yang sedang memerhati setiap gelagat hambaNya di pentas
dunia ini. ‘Wahai Allah yang berada di Arasy sana. Mampukah hati ini bertahan
selama-lamanya ? Hanya Engkau yang tahu mampu atau tidak. Tolonglah genggam
hati ini dan jangan Kau lepaskan walau sesaat sekalipun. Tidak sanggup untuk
aku rasa derita kerana jauh dari Mu lagi.’
Aku tahu Engkau mendengar.
Bagi aku, uzlah (mengasingkan
diri) sangat penting untuk memberi ruang kepada hati berbicara dengan Allah
dengan lebih dekat. Antara aku dan Dia. Setiap orang mempunyai cara yang
berbeza untuk beroleh semula ketenangan hati. Tapi bagi aku, inilah jalan yang
terbaik.
Sudah lama aku berada di
sini. Berbicara dengan Dia melalui kalam-kalam-Nya. In shaa Allah, hati yang
pernah aku miliki dahulu sedang beransur-ansur kembali. Mudah-mudahan aku tetap
istiqamah selepas pengembaraan ini.
No comments:
Post a Comment