Mar 8, 2013

Tolonglah Berhenti, Pakcik !


Hampir setengah jam melihat pemandu bas itu berlegar-legar ke sana ke mari. Apalah yang di cari daripada tadi agaknya. Pintu bas tidak juga di buka-buka. Matahari makin membahang sehingga terasa basah satu badan bermandi keringat. Allahurabbi. Bagaimana agaknya keadaan ku ketika di mahsyar nanti. Bertahanlah. Baru sedikit ujian buat mu.

Setelah menunggu dan menunggu, kelihatan beberapa orang yang sedang menunggu bersama ku tadi berjalan menuju ke arah pintu bas. Pasti pintunya sudah di buka. Masa untuk beratur. Pada ketika itu sudah jam empat petang. Sebentar lagi masuk waktu asar. Alhamdulillah, sebelum datang ke terminal aku sudahpun menunaikan solat Zohor.

Sekarang tiba giliran ku untuk menunjukkan tiket bas. Sementara menunggu pemandu bas memeriksa kertas yang berada ditangannya, aku beranikan diri bertanya kepadanya walaupun wajah pemandu bas itu sedikit garang.

“Nanti berhenti solat asar tak ?” Pemandu bas itu mendiamkan diri. Mungkin mencari jawapan. Bersangka baik.

“Tak reti jamak ke?? Awak kan musafir !” Allahurabbi. Tersentap jantung buat seketika. Lancang mulutnya mengeluarkan kata-kata sekeras itu. Mahu sahaja aku menangis di situ. Tapi aku kuatkan hati menjawab semula kata-katanya. Bukan mahu biadap tetapi ingin membetulkan apa yang diperkata.

“Ya, memanglah saya musafir. Tapi saya tak boleh jamak sebab saya masih berada dalam kawasan mukim saya.” Terus aku mengatur langkah masuk ke dalam bas dengan harapan dia akan berhenti untuk memberi ruang kepada kami yang tidak solat jamak sebelum berangkat.

Berdegup kencang jantung ini menahan marah. Istighfar, istighfar. Sabar, sabar. Itulah pengubat hati. Sedikit sahaja ujiannya. Aku cuba menyeka rasa tadi dengan melelapkan mata sebentar. Namun tidak lena kerana asyik terfikirkan soal solat Asar ku. Berkali-kali melihat jam. Bas masih berjalan laju seperti tidak mahu berhenti.

Aku memandang ke luar tingkap. Melihat hari semakin gelap. Makin lama makin tidak selesa seperti cacing yang kepanasan. Aku mendongak ke langit dan cuba berbicara dengan-Nya melalui doa.

‘Wahai Allah yang berada di Arasy sana. Detikkanlah ke dalam hati pakcik ini untuk berhenti. Lembutkan hatinya, Ya Allah. Sekarang sudah 6.30 petang. Aku masih tidak solat Asar. Tolonglah Ya Allah. Bukakan pintu hati pakcik ini untuk berhenti.’

Aku cuba menahan airmata dari mengalir. Sudahlah hati ku sedang sakit tenat. Pakcik ini pula tidak mahu berhenti. Tolonglah berhenti pakcik ! Janganlah zalimi saya !

Sejurus hati ku berkata sedemikian, tiba-tiba terasa seperti bas mula berjalan perlahan. Aku cuba mengintai di luar tingkap. Subhanallah ! Surau ! Tertunggu-tunggu juga pakcik itu memberi arahan berapa minit perlu naik ke bas semula atau berhenti berapa minit. Tapi dia mendiamkan diri.

Ah, sudahlah. Jika ditunggu arahannya, memang tak turun solat la aku. Biarkan saja dia yang berlalu keluar tanpa sepatah kata tu. Sepantas yang mampu aku mengatur langkah mencari pintu surau. Syukur sebelum naik bas tadi sudah bersedia dengan wudhuk. Jadi, tak perlulah ambil masa yang panjang. Terus solat je. Nanti ada pulak kes kena tinggal bas. Hmm..

Please take note.

Fikirlah siapa yang tak suka jalan mudah yang Allah bagi ? Semua orang suka. Semua orang nak jalan mudah. Tapi bilamana kita masih berada dalam kawasan mukim kita, jangan senang-senang nak suruh kita jamak. Tolong fahami konsep jamak tu macam mana.

Orang lain pun penat bekerja tapi janganlah sampai biadap macam tu bila orang bertanya tentang solat. Lagipun, apalah salahnya berhenti 10 minit untuk bagi ruang pada orang yang tak solat jamak ? Nak kejar masa ?? Ya, tapi janganlah zalimi orang lain sampai tak solat.

Allahurabbi.

No comments: