Nov 12, 2013

Part 2 : Madrasah Cinta

“Auni..bangun..”


Panggilan itu hanya singgah dihujung gegendang telinga. Masih terasa awal untuk bangun. Huh.


“Auni sayang, dah pukul sembilan setengah ni. Bangunlah. Makan.”


‘Suara ummi! Alamak, malunya. Terlupa pula sekarang ni bukan kat rumah sendiri nak bangun lewat.’


Bergegas aku bangun untuk bersiap. Selesai membersihkan badan, adik-adik mengajak aku makan pagi bersama mereka. Zulaikha, anak sulung berusia 16 tahun. Zulfikri, anak kedua berusia 13 tahun. Zulhelmi, anak yang terakhir berusia 10 tahun. Tubuh mereka kecil-kecil sahaja. Comel.


Itulah pertama kali dalam hidup aku makan menggunakan talam. Berkongsi dengan adik-adik. Mulanya berasa geli untuk makan bercampur tangan. Tapi, sekali cuba rasa seronok pula. Rasa ukhuwah itu lebih erat.


Makanan masih banyak di atas talam. Adik-adik sudahpun mengangkat punggung mencuci tangan masing-masing. Tinggallah aku sendiri terkial-kial habiskan makanan. Selang beberapa minit, ummi datang menemani aku di dapur.


“Ummi, kenapa rumah ummi tak ada TV?”


Ummi tersenyum.


“Rancangan di TV banyak yang bagus ke banyak yang tak bagus?”


Soalan berbalas soalan.


“Banyak yang tak bagus kot?”


Ummi mengangkat kening sambil mencebek.


“Itulah jawapannya.”


Jawapan ummi masih tidak memuaskan hati. Terlalu ringkas.


“Tapi, ada juga rancangan yang Islamik. Bukan semuanya tak baik kan, ummi?”


            Aku meluruskan badan yang separuh bongkok. Nasi sudah kering ditangan. Perut terlalu kenyang sehingga tiada daya untuk berganjak dari talam nasi.


            “Ada memang ada. Tak dinafikan. Tapi, satu nisbah seribu. Lagipun ummi taknak adik-adik tu nanti asyik menghadap TV. Nanti jadi malas hafal Quran.”


            TV tak boleh. Komputer dan internet boleh pula. Dahi berkerut sendiri.


“Ummi! Tengok abang ni. Dek Im nak tengok youtube yang Perang Badar tu. Abang nak tengok perang lain! Padahal Dek Im dulu yang main.”


Tiba-tiba sahaja Zulhelmi menjerit berebutkan tetikus komputer dengan abangnya, Zulfikri. Persoalan di benak fikiran terjawab.


“Sekurang-kurangnya bila ada internet, ummi tahu anak-anak ummi tengok apa. Ada banyak pilihan yang lebih baik berbanding TV untuk anak-anak ummi.”


Tiba-tiba ummi bersuara walaupun tidak diajukan apa-apa pertanyaan. Mungkin ummi perasan riak wajahku yang berubah tadi. Macam ada sixth sense pula. Erk.


Baru semalaman disini sudah banyak perkara yang aku lihat dan belajar. Aku faham ummi bukanlah terlalu syadid (keras) dengan anak-anak, tapi ummi buat yang mana baik. Mencegah lebih baik dari merawat. Aku kagum.



bersambung...

No comments: