Nov 22, 2013

Part 7: Madrasah Cinta

Hampir dua minggu aku di sini. Minggu lepas masa minggu pertama di sini, ummi bawa aku bercuti di Mersing. Dua hari bermalam di resort.



     Aku teringat ketika ummi ajak berjalan-jalan di sekitar pantai. Kami terjumpa satu tempat cantik yang tersorok di sebalik hutan kecil di situ. Setelah puas bergambar, ummi mengajak aku dan Zulaikha bermain air.



     Zulaikha turut serta tanpa membantah. Aku mengelak sehabis yang mungkin. Mana tidaknya, aku hanya membawa sehelai tudung. Kalau basah, aku nak pakai tudung mana lagi?



     “Auni, jomlah mandi! Best, tau!” Ummi mempelawa. Pada hakikatnya, aku sudah pun tergoda dengan air biru yang kehijauan di situ. Tapi. . .



     “Takpe la, ummi. Auni tak bawa tudung lebih. Kalau basah tudung ni, Auni nak pakai apa balik nanti.” Kaki ku menguis pasir pantai. Aku cuba menolak dengan baik.



     “Ummi ada bawa tudung lebih. Ikha pun ada bawa tudung lebih.” Ummi memujuk.



     Alamak. Tudung ummi dan Zulaikha besar-besar. Labuh. Aku masih tak bersedia untuk memakainya. Sungguh!



     “Tak nak la ummi. Auni tak selesa pakai tudung tu. Auni nak pakai tudung ni juga.” Aku memang jenis yang begini. Kalau tak suka sesuatu, hanya sekali sahaja aku menolak dengan baik. Setelah itu, harap maaf.



     Sedangkan tudung yang aku pakai itu sememangnya sangat pendek. Tutup dada? Erk. Memang tak la. Sampai sekarang aku masih menyimpan tudung kecil itu. Hanya dipakai ketika hendak memakai telekung solat.



     “Auni nak nampak cantik kan?” Tiba-tiba ummi menyoal ku sebegitu. Aku mengangguk.



     Lalu ummi menyambung semula,




     “Auni nak nampak cantik di mata manusia ke di mata Allah?” Soal ummi sambil tersenyum.



     Aku ??



     Sumpah! Aku terkedu. Tapi aku tetap enggan menerima pelawaan ummi. Sedang asyik aku berjalan-jalan di pesisir pantai, aku terdengar bunyi telapak kaki orang yang sedang berlari menuju ke arah aku dari belakang. Aku memaling ke belakang.



     Zulaikha. Dia menggenggam segumpal pasir pantai di tangan kanannya. Mahu dilempar ke arah aku?? Ini pasti kerja ummi! Tak berputus-asa kedua-dua beranak ini.



     Aku berlari sekuat yang mungkin agar tudung ku tidak dikotori pasir yang basah itu. Tapi, ditakdirkan Allah kaki ku tersadung pada timbunan pasir. Aku tidak tahu dari mana munculnya timbunan itu.



     Dengan sekelip mata sahaja aku basah kuyup. Ya. Aku terjatuh ke dalam air biru yang menggoda itu. Ummi tergelak besar. Zulaikha tersengih.



     Akhirnya mereka berjaya membasahkan tudung ku. Huh. Aku bergegas bangun. Menepuk-nepuk pasir yang melekat di tudung. Buat cool.



     Sampai sahaja di bilik, aku terus membasuh tudung ku. Diperah airnya sekering yang boleh. Lalu aku sidai pada kerusi di luar bilik. Tidak sampai lima minit, hujan turun dengan lebat!




     Wallahi, tadi matahari panas masih memancar. Tiba-tiba sahaja hujan. Seperti satu petanda. Aku terfikir dan tertanya-tanya. Tapi kedegilan ku sukar untuk dikikis.




     “Tudung tu takkan kering, Auni. Ambil ni, tudung Ikha.” Ummi menghulur tudung labuh berwarna coklat kepada ku.




     “Tak nak. Ummi la ni. Habis tudung Auni basah. Biarlah tak kering pun. Auni pakai je nanti.” Ummi tersenyum sambil menggeleng.





     Walaupun dalam hati ini ada rasa serba salah dan masih memikirkan petanda demi petanda, aku tetap berkeras dengan kehendak ku. Ummi hanya membiarkan aku begitu bersama senyumannya.

No comments: