May 26, 2014

C.U.K.U.P

Cukup sebulan cuti semester. Terlalu banyak perkara yang dilalui sepanjang sebulan ini. Kadang-kala cukup menggoyahkan hati. Cukup menggoyahkan iman. Mahu tidak mahu tetap juga perlu dihadap. Pilihan itu ada tapi cukup terhad.



Melihat masalah dan ujian yang ditimpakan ke atas manusia sekeliling cukup membuat aku rasa bersyukur dengan apa yang aku miliki. Walau sekuat mana ujian yang jatuh membebani otak dan akal ku takkan mungkin sama dengan ujian yang jauh lebih hebat yang manusia lain hadapi.



Qana’ah.



Sentiasa berasa cukup agar tidak ada sekelumit keluhan pun yang terpancul keluar dari mulut. Lidah itu tajam. Kata-kata yang mampu menusuk hati manusia lain termasuk diri sendiri. Kadang-kadang oleh kerana tajamnya lidah itulah kita diuji.




Kurangnya makanan rohani sepanjang cuti semester menyebabkan otak jadi tepu dan tak mampu berfikir dengan waras. Apa yang ada cuma rasa sunyi tanpa sahabat-sahabat. Keadaan sunyi itulah yang selalu menganggu hati. Rasa sayu. Rasa rindu. Dalam keadaan begitulah syaitan suka mencucuk-cucuk hati supaya ‘sakit’.




Jika syaitan tak pernah berputus asa untuk mengajakmu ke neraka, kenapa mesti kau berputus asa untuk meraih syurga ? Ah, perasaan yang benar-benar gila !




Patut dibiarkan saja berlalu. Bilamana aku cuba menyelusuri perjalanan sahabat-sahabat yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara bulan 9 nanti, cukup buat hati ini terubat. Ya, terubat dengan semangat mereka. Terubat dengan kegigihan mereka. Moga tercapai cita-cita kalian untuk ke Indonesia dan Jordan.



“Su tunggu kak Auni di Jordan, insha-Allah.” Kata-kata dan senyuman Su sentiasa bermain di minda sebelum aku melelapkan mata. Allahumma robbi yassir wa la tuassir.



Sama ada tercapai atau tidak cita-cita untuk ke sana itu bukan urusan aku untuk tentukan. Itu semua kerja Allah. Yang penting usaha, doa dan tawakkal. Takkan mungkin tangan yang menadah doa akan mendapat pulangan yang kosong dariNya.



Bersungguh-sungguh lah !


Feb 12, 2014

Nak Kata Allah Tu Cinta

"Nak kata Allah tu cinta...."


Sangat tertarik dengan kata-kata adik Syahidah semasa perkongsian rehlah Untaian Tasbih Cinta sabtu lepas di Taman Gelora. Moga tujuan hidup mu persis nama yang diberi. Aamiin !


Berbalik pada "Nak kata Allah tu cinta.." Subhanallah ! Masya Allah ! Kita punya Allah yang cukup menyayangi kita. Tak terhitung nilainya. Tapi, kita sangat-sangat dhaif mengenaiNya.


Bilamana diberi kemewahan atau kesenangan hidup, kita sombong ! Tapi nak kata Allah tu cinta, Dia tetap lindungi kita sepanjang masa. Dia masih bagi kita peluang melihat dunia. Bilamana diberi rezeki, selain Dia yang kita syukuri ! Tapi nak kata Allah tu cinta, Dia turunkan segala kebaikan buat kita. Cintanya Dia kepada kita dengan memberi segala nikmat walaupun terlalu banyak kejahatan yang naik kepadaNya.


Kita selalu sahaja memancing kemurkaan Dia padahal kita yang sangat-sangat memerlukan Dia. Sedangkan tidak sedikit pun Dia memerlukan kita. 



Jika kita meninggalkan sesuatu demi Dia, Dia akan cukupkan segalanya buat kita. Jika kita inginkan keredhaanNya, Dia pun menginginkan apa yang kita inginkan. Dan jika kita lebih mementingkan Dia dari selainNya, Dia akan lebih mementingkan kita berbanding orang lain. Kerana apa ?


Kerana Allah tu cinta !


Jika kita berbuat maksiat, tidak Dia biarkan kita berputus asa dengan rahmatNya. Jika kita bertaubat, Dia akan menjadi kekasih kita kerana Dia....mencintai orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri. Jika kita tidak bertaubat, Dia akan bertindak sebagai 'doktor'. Akan Dia berikan cubaan dan musibah semata-mata untuk membersihkan kita daripada keaiban.



Satu kebaikan disisiNya bernilai sepuluh kali ganda, sedangkan kejahatan disisiNya bernilai satu. Jika kita menyesal dan memohon ampun, nescaya diampunkan kita. Kerana apa ?


Kerana Allah tu cinta !


Dia menerima amal baik yang sedikit dan mengampunkan banyak kesalahan. Kasih sayangNya mendahului kemurkaanNya. SifatNya yang penyantun mendahului keputusanNya dalam menjatuhkan hukuman. Pemberian maafNya mendahului seksaanNya. 


Nak kata Allah tu cinta, Dia lebih kasih kepada kita melebihi kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Allahurabbi ! Beruntungnya kita punya Allah seperti Dia.


“Jika mana-mana hambaKu mentaatiKu, maka Aku redha kepadanya, maka akan Aku berkati seluruh hidupnya, sesungguhnya keberkatanKu tidak ada penghujungnya dan jika hambaKu melakukan maksiat kepadaKu, Aku marah kepadanya, bila Aku marah kepadanya maknanya Aku MELAKNATNYA.”


(Hadis Qudsi)