Mar 18, 2013

Jika Ia Adalah Rindu


Aku lihat, aku dengar bahawa mereka selalu merindui kekasih mereka. Bagaimana pula dengan aku ? Ya, aku juga merindui. Tetapi tidak berani mengatakan bahawa ‘dia’ kekasih ku kerana peribadi ku tidak sepertinya.

Sejak aku melihat dunia, aku tidak pernah merasa bagaimana keadaan hati orang yang tertaut dengan kasih dan cinta mu, ya habibullah. Aku tidak pernah mengendahkan kewujudan mu. Apa yang aku tahu, aku perlu belajar sirah mu untuk memenuhi silibus matapelajaran.

Aku tahu akan kehadiran mu tetapi aku tidak beriman dengan mu. Bagaimana mungkin aku mengikuti akhlak dan peribadi mu sedangkan kewujudan mu sendiri aku tidak pernah hayati. Allahu ya Allah.

Tapi kini…

Setelah hampir 21 tahun aku melihat dunia…baru sekarang aku merasa sesuatu tatkala mendengar nama mu di sebut-sebut. Aku tidak pasti adakah ini perasaan rindu atau selainnya. Hati ini seperti dijentik-jentik. Dalam tidak sedar, hanya airmata yang menemani.

Adakah ini salam rindu dari mu yang baru kini ku rasakan sejak berabad lamanya kau tinggalkan kami ya Rasulullah ?

Jika rasa ini sekadar persinggahan, mana mungkin aku mengalirkan air jernih ini untuk kesekian kalinya. Jika rasa ini sekadar perasaan biasa, mana mungkin aku teresak-esak ketika menyebut nama mu dalam doa ku.

Ya Rasulullah. Maafkanlah umat mu yang tidak berjaya menteladani akhlak mu ini. Maafkanlah aku kerana tidak mampu jadi umat mu yang terbaik seperti yang kau harapkan. Maafkanlah aku yang banyak mengecewakan mu. Doakanlah aku bertemu dengan mu ya Rasulullah. Aku…merindui mu.

Wahai Allah yang berada di Arasy sana. Jika benar rasa ini adalah rasa rindu seorang umat kepada kekasih Mu, sampaikan padanya bahawa aku juga merinduinya. 

2 comments:

aiEz said...

malu untuk mengatakan cinta,sdgkan diri tak amalkan sgt apa yg diajar..malu sungguh pd diri sendiri

Auni said...

malu tu sebahagian dari iman. selamat menjadi umat Muhammad yg terbaik. Allahumma aamiin.